Eidul Adha – Hari disempurnakan binaan Umat Islam

Aidiladha dan Aidilfitri merupakan antara syiar Islam yang agung. Oleh kerana itu, disunatkan ke atas umat Islam untuk bersuka ria padanya selagi mana tidak melanggar batasan syara’. Anas bin Malik (ra) meriwayatkan bahawa kaum Ansar mempunyai dua hari untuk bersuka ria pada zaman jahiliyah, lalu apabila Nabi tiba di Madinah, baginda (saw) bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menukarkan bagi kamu dua hari yang lebih baik darinya; Aidilfitri dan Aidiladha”. Aidilfitri umpama hari yang mana diletakkan batu asas bagi binaan negara Islam padanya, maka ia adalah hari perhimpunan bagi umat Islam, justeru perhimpunan mereka melambangkan ketinggian kalimah Allah. Sedangkan Aidiladha pula merupakan hari di mana sempurnanya binaan tersebut. Justeru, betapa layaknya kedua-dua hari tersebut untuk menjadi hari perayaan bagi umat Islam, tergambar padanya memori silam serta sirah Rasulullah (saw) di hati mereka.

Hari raya merupakan ukuran untuk mengenali akhlak dan tabiat sesuatu kaum. Justeru, barangsiapa yang ingin mengetahui perangai sesuatu kaum maka dia hendaklah memerhatikan mereka pada hari perayaan mereka, kerana pada hari raya terjelmanya perangai, akhlak, dan adat yang sebenar. Masyarakat contoh ialah mereka yang semakin meningkat akhlaknya ke kemuncak yang tertinggi pada hari raya, begitu juga sifat peri kemanusiaannya yang tergambar pada penghubungan silaturrahim, saling ziarah menziarahi di antara ahli keluarga, jiran dan kawan-kawan, memberikan kebaikan dan menghulurkan bantuan bagi setiap yang memerlukan. Begitu juga dengan menghilangkan perasaan hasad dengki, permusuhan, dan pergaduhan.

Adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk menzohirkannya bertepatan dengan sunnah Rasulullah (saw). Baginda (saw) pernah bersabda kepada Saidina Abu Bakar (ra) pada hari Aidiladha: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum mempunyai hari perayaan masing-masing, dan hari ini ialah hari perayaan kita, supaya kaum yahudi di Madinah mengetahui bahawa terdapat kegembiraan di dalam agama kita. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi bertolak ansur”.

Di antara peristiwa-peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran di dalam mentaati dan berkorban kerana Allah (swt) ialah peristiwa Nabi Ibrahim (as) yang merupakan satu peristiwa yang sangat menarik, yang terpapar di dalamnya gambaran ketaatan dan pengorbanan yang sangat tinggi demi Allah (swt), di mana Al Kholil Ibrahim (as) apabila telah mencecah umur yang lanjut, baginda (as) berdoa kepada Allah (swt) supaya dikurniakan zuriat yang soleh. Lalu Allah memperkenankan permintaannya dengan mengurniakan kepadanya Nabi Ismail (as). Lalu baginda menempatkan mereka dengan perintah Allah (swt) di lembah yang kering kontang tetapi akhirnya menjadi tempat umat Islam menunaikan Haji. Nabi Ibrahim sentiasa menziarahi isteri dan anaknya dari semasa ke semasa untuk mencurahkan kasih sayang sebagai seorang ayah terhadap anaknya.

Tetapi apabila anaknya telah meningkat remaja dan baginda menaruh harapan yang sangat tinggi terhadapnya, baginda (as) melihat di dalam mimpinya bahawa baginda menyembelih anak tunggal kesayangannya itu. Mimpi seorang nabi adalah wahyu dari Tuhannya. Lantas, tanpa teragak-agak baginda (as) bersegera menunaikan perintah Tuhannya dengan memberitakan perkara tersebut kepada anak kesayangannya Ismail (as), “Wahai anakku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu, maka apakah pendapatmu?” Lalu Saidina Ismail menjawab dengan penuh sabar dan taat terhadap perintah Allah, “Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, engkau akan mendapatiku -jika Allah menghendaki- di kalangan orang-orang yang sabar”.

Di sini kita dapati bahawa Nabi Ismail tidak mengatakan, “Laksanakanlah apa yang engkau lihat”, kerana baginda (as) -walaupun masih kecil- memahami dengan yakin bahawa mimpi para nabi adalah wahyu yang benar daripada Allah (swt) yang wajib dipatuhi walau berbagai rintangan yang harus dilalui. Lalu, apabila Saidina Ibrahim telah bersedia untuk menyembelih anaknya, Allah (swt) berfirman, “Wahai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbakti. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Lalu kami tebus anaknya dengan satu sembelihan yang besar (seekor kambing).” Berdasarkan peristiwa inilah, umat Islam disyariatkan untuk menyembelih korban pada hari Aidiladha untuk mengingati semula peristiwa tersebut lantas menjadikannya sebagai satu contoh tauladan yang perlu diikuti.

Para Ulama’ telah bersepakat tentang pensyariatan korban berdasarkan firman Allah Azza Wajalla: “Maka solatlah untuk Tuhanmu dan bersembelihlah” (Al-Kautsar : 2)

Diriwayatkan oleh Al-Barra’ bin Azib (ra) bahawa Rasulullah (saw) pernah berkhutbah pada hari Aidiladha dengan bersabda: “Sesungguhnya perkara pertama yang harus kita mulakan hari ini dengannya ialah bersolat, kemudian kita pulang dan bersembelih, barangsiapa yang melakukan demikian maka dia telah mengikut sunnah kami, dan barangsiapa yang bersembelih sebelum bersolat maka itu hanyalah daging yang disegerakan untuk keluarganya, tidak termasuk di dalam ibadah sedikit pun”.

Maka tidak patutlah bagi seorang yang beriman dengan Allah sebagai tuhan dan Nabi Muhammad sebagai Nabi dan Rasul, mampu untuk menyembelih korban tetapi tidak menyembelih korban kerana Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah (saw): “Barangsiapa yang mampu untuk menyembelih korban, tetapi tidak menyembelih korban maka janganlah dia mendekati masjid kami.”

Oleh yang demikian, amalan paling afdhal yang dilakukan oleh seorang muslim pada hari Aidiladha selepas mengerjakan haji ialah menyembelih korban sebagai mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan cukuplah sebagai pendorong kita untuk menyembelih korban bahawa binatang korban itu akan menjadi penghalang bagi tuannya daripada api neraka pada hari kiamat.

dipetik dari: ISMAmesir

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: