KEKELUARGAAN DALAM PEMIKIRAN AL BANNA

Asy Syahid Hassan Al Banna dalam gagasan pemikirannya menyeru manusia ke jalan Allah dengan asas yang amat mudah. Beliau ingin membawa manusia yang telah jauh dari hidayah Islam kembali ke pangkal jalan. Kembali memahami Islam yang syumul ,yang menjangkau seluruh aspek kehidupan. Bermula dari aqidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih sehinggalah kepada akhlaq, keluarga, masyarakat , Negara, undang-undang, kekayaan, keadilan,kehakiman , jihad dan dakwah. Membawa manusia kembali kepada Al Quran sebagai asas sumber rujukan. di samping hadis Rasulullah saw melalui riwayat dan perawi yang dipercayai.

Penekanan-penekanan yang dibuat oleh Asy Syahid menjadi lebih mantap dan sempurna apabila beliau sentiasa meletakkan Iman yang benar, Ibadah yang sahih dan pengorbanan di hadapan . Kerana di dalam ketiga-tiga elemen tersebut terkandungnya cahaya dan kemanisan. Asy Syahid seorang yang amat tegas dalam perkara agama memastikan ia sentiasa berlandaskan dalil syarak yang jelas dan nas-nas agama, menolak segala sesuatu yang bercanggah dengannya . Neraca dan setiap nilai di atas diimplimentasikan secara amali dalam alam nyata melalui keperibadian seorang muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim , Negara Islam dan alam seluruhnya .

Asy Syahid dikatakan tidak banyak mengarang buku kerana terlalu sibuk dalam memproses dan melahirkan “rijal”. Demikianlah kritikalnya tahap pembentukan peribadi itu di sisi Hassan Al Banna. Melalui peribadi-peribadi muslim impian untuk mencapai sebuah keluarga muslim akan tergalas. Setiap tingkat atau tertib amal ini semestinya memerlukan disiplin dan pengorbanan yang tinggi. Amal-amal inilah yang akan dinilai dan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah kelak.

Firman Allah : Dan katakanlah ( wahai Muhamad ): Beramallah kamu , maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan ; dan kamu akan dikembalikan kepada ( Allah ) Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia mengkhabarkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.

[ At Taubah : 105 )

KELUARGA MUSLIM

Keluarga muslim adalah antara elemen perubahan yang ingin di persembahkan kepada masyarakat. Menyedarkan kembali masyarakat kepada definisi keluarga yang sebenarnya menurut Islam ,yang selama ini mungkin sudah agak tersasar hasil pengaruh-pengaruh luar dan berbagai faktor yang lain. Islam yang syumul amat menitik beratkan soal kelangsungan hidup kekeluargaan. Merubah pemikiran sempit masyarakat terhadap peranan sebuah keluarga kepada yang sepatutnya.

Seorang muslim yang sebenarnya bukan semata-mata mengamalkan Islam untuk dirinya sendiri tetapi juga: “mendidik ahli keluarganya supaya menghormati fikrahnya. Memelihara adab Islam dalam setiap sudut hidup berumah tangga. Hal ini termasuk ketelitian dalam memilih isteri . Mendidik isteri tentang hak dan tanggung jawabnya. Mendidik anak-anak dan pengasuh dengan baik, dan membesarkan anak-anak berdasarkan prinsip Islam. Inilah satu tugasan dan kewajipan yang perlu dipikul seorang muslim. – Al Banna

SUNNAH PERKAHWINAN

Kehidupan mahkluk Allah yang berpasang-pasangan di alam semesta ini perlu kita insafi sebagai salah satu tanda keagungan Allah SWT. Perhatikanlah kepada alam haiwan, tumbuhan dan manusia, semuanya berpasang-pasangan untuk terus melangsungkan kewujudan mereka di alam ini.

Firman Allah:

ومن كل شئ خلقنا زوجين لعلكم تذكرون

Maksudnya : Dan setiap sesuatu kami jadikan berpasangan mudah-mudahan kamu mengingati.

Sistem perkahwinan bukanlah semata-mata menyahut keperluan naluri bahkan ia adalah sunnah kauniah yang lebih halus dan luas. Sebagaimana cas positif dan negatif dalam alam eletrik hanya akan dapat kita rasai rahsia kewujudannya apabila kedua-duanya ditemukan.

Sesungguhnya keluarga adalah salah satu nikmat besar daripada nikmat-nikmat Allah di dunia ini.Kejayaan seorang muslim di lihat kepada kejayaan keluarga muslim yang di bawah tanggung jawabannya dan kecemerlangan sebuah keluarga diukur melalui individu-individu yang berada di bawah naungannya.

Saidina Muaz bin Jabal pernah pergi menemui Rasulullah SAW dan meminta baginda memberi wasiat kepada beliau , maka sabda baginda Saw ; يا معاذ أمسك عليك سانك , وليسعك بيتك وابك على خطيئتك

Maksudnya : Wahai Muaz hendaklah kamu menjaga lidahmu, dan liyas’aka rumahmu serta tangisilah kesalahan-kesalahanmu.

Rumah tangga muslim sepatutnya adalah satu tempat  yang terdapat di dalamnya suami isteri, anak-anak dan ibu bapa. Di dalamnya ada ketenangan dan kerehatan setelah penat lelah. Segala keletihan hidup akan hilang apabila seseorang itu masuk kedalam sebuah rumah yang tersusun dan bahagia. Segala kelukaan akibat tragedi dan peristiwa-peristiwa akan berlalu dengan belaian tangan-tangan yang penyayang di dalam bait muslim. Inilah yang dikatakan hidup yang menyenangkan, punca kepada kesucian, tempat bermulanya satu kesetiaan dan kelembutan dan kasih sayang.

Lantaran itu Islam telah mewujudkan sistem kekeluargaan dengan memperkemaskan hubungan antara ahlinya.

Suami :

Sabda rasulullah Saw;

Maksudnya : Setiap kamu adalah pengembala, setiap pengembala bertanggungjawab di atas setiap gembalaannya.

Maka seorang pemimpin pembela bertanggungjawab ke atas rakyatnya . Dan seorang lelaki pemimpin terhadap keluarga dan rumahnya. Begitu juga wanita adalah pemimpin dan bertanggung jawab ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya.

Di luar rumah , suami perlu bekerja dan berusaha untuk memenuhi keperluaan keluarga dengan cara yang mulia lagi halal mengikut kemampuannya untuk menjamin kehidupan ahli keluarganya. Di dalam rumah ,suami atau bapa membimbing dan menasihati. Melakukan pemantauan yang sempurna terhadap semua yang berada di dalam rumah dengan ta’lim Islam dengan kesungguhan dan kebenaran. Segala yang disebut tadi amat memerlukan Iltizam yang tinggi kepada individu muslim yang terlibat , agar mampu untuk meneraju orang-orang yang di bawahnya. فاقد الشئ لا يعطيه  [ Orang yang tidak punya sesuatu tidak mampu untuk memberinya].

Isteri :

Allah telah berfirman : ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا اليها وجعل بينكم مودة و رحمة انّ فى ذلك لاءيات قوم يتفكرون

Maksudnya : Dari tanda-tanda kebesaranNya bahawa Ia telah mencipta kamu dari dirimu pasangan untuk kamu dari jenis mu sendiri, agar kamu tenang kepadanya, dan menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda [kebesaran Allah] bagi kaum yang berfikir.

Dan Nabi Saw juga pernah bersabda : Tidak ada yang lebih berfaedah selepas taqwa kepada Allah itu satu kebaikan daripada isteri yang solehah.

Justeru itu isteri yang solehah merupakan roh sebuah rumah tangga. Padanya tenang sebuah jiwa, dan dengannya akan teratur sebuah kehidupan. Dia berperanan untuk menguruskan rumah, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka di atas landasan kemuliaan, kebenaran dan kebaikan.Mereka seharusnya merasa bertanggung jawab sekiranya anak-anak mereka ‘tidak menjadi’, menjadi sampah masyarakat atau penjenayah.

Tugas ibu bukan setakat menjaga makan minum, tidur pakai anak-anak sahaja , tetapi untuk menyuburkan segala potensi rohani, jasmani, emosi dan intelaktual anak-anak. Tangan yang menghayun buaian ditangan kanannya itulah yang akan mengoncangkan dunia dengan tangan kirinya.

Islam telah memfarddhukan kepada seorang isteri tanggung jawab- tanggung jawab yang memang mampu untuk di pikulnya . Allah tidak membebankan wanita sesuatu yang tidak mampu ditanggung oleh fitrah kejadiannya.

Ditegaskan sekali lagi , setiap suami dan isteri mesti memimpin anak-anak dan ahli keluarga yang berada di dalam bahtera tersebut kea arah fikrah yang di yakininya , iaitu fikrah Islam yang syumul. Dengan yang demikian dakwah ini akan terus di warisi dan diteruskan perjuangannya, sementara kesan-kesan kebaikan yang diharapkan akan berkekalan. Membentuk keluarga mithali yang akan menjadi contoh kepada keluarga-keluarga yang lain.

Satu Penyelesaian

Kejayaan dalam membentuk sebuah keluarga muslim akan menutup banyak pintu-pintu maksiat dan kefasadan di luar sana. Anak-anak berada di dalam kawalan, sentiasa di bimbing di dalam iklim kasih sayang disamping ketegasan dalam prinsip dan disiplin. Secara tak lansung rumah tangga muslim ini adalah penyelesaian kepada masaalah-masaalah sosial. Apabila rosaknya sebuah masyarakat maka kita boleh hitung kira kembali apa yang sebenarnya terjadi dalam institusi kekeluargaan yang berada di dalamnya. Gagasan yang ingin di bawa oleh Asy Syahid Al Banna adalah satu ‘solution’ terbaik yang menyeluruh dan jangka panjang yang perlu kita kaji. Kita tidak boleh memandang remeh sesuatu idea sebelum kita sendiri memahami dan menghayatinya.

Dalam konteks kekeluargaan ini sudah cukup untuk menggambarkan kepada kita betapa bernas idea yang beliau utarakan. Institusi kekeluargaan yang mempunyai capaian yang luas dan banyak bersangkut kait dengan sektor-sektor lain dalam kehidupan ini perlu diberi ruang yang selayaknya. Dengan kata lain kegagalan dalam sistem pengurusan rumah tangga seperti tidak mengikut garis panduan Al Quran turut akan menyumbang kepada kerosakan sistem – sistem lain seperti kemasyarakatan dan negara. malahan turut mencorak landskap dunia secara keseluruhannya. Kerana ia adalah marhalah kedua penting selepas pembentukan syakhsiyyah muslim sebelum masuk ke marhalah-marhalah seterusnya.

Ustazah Norlida bt Kamarudin,
Naib Ketua Wanita,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: